Tuesday, February 15, 2011

Hujan Datang Lagi

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Masa mula2 datang ke Indonesia ini ada satu lagi azam Tuah selain mahu belajar menjadi seorang doktor yang bagus. Iaitu mahu mendalami ilmu agama dengan a’lim ulama’ yang ada di sana. Almaklum Indonesia memang terkenal dengan a’lim ulama’nya.

Indonesia juga terkenal dengan gerakan2 Islam yang kuat berusaha untuk memartabatkan semula Islam di mata dunia dan menghidupkan semula sistem kekhalifahan Islam yang pernah runtuh di Turki dulu, selain merupakan negara yang mempunyai umat Islam teramai di dunia.

Lagipun, masa di Malaysia dulu Tuah bukanlah hasil sebuah sekolah agama yang baik. Bukan sekolah yang tidak baik tetapi diri dan kawan2 yang terlena dengan dunia. Lepas tamat masa di kolej baru terfikir balik ruginya rasa tidak memanfaatkan suasana Islam di sekolah dulu.

Sesampainya di sini, selama seminggu mula merapatkan diri dengan masyarakat setempat. Berkenal2lan dengan adat dan budaya setempat, suatu yang sangat penting dilakukan oleh seorang musafir ketika mahu mula bermastautin di suatu tempat.

Dalam berkenalan dengan masyarakat kampung di sekitar, Tuah juga cuba mencari sumber2 untuk mendalami ilmu agama. Walau tidak banyak, tapi berbaloi atau lumayan jugalah.

Ada beberapa kelas agama yang dijalankan di masjid2 sekitar asrama dan berdekatan asarama. Disamping aktiviti2 keronahian yang dijalankan persatuan pelajar Malaysia di sini. Ditambah dengan usaha rakan2 yang rajin menemani ke mana2 program kerohanian.

Punyalah kuat iman masa itu sampai banyak buku agama Tuah habis baca. Ada yang Tuah tidak pernah buka walau buku tersebut ada di rumah di Malaysia tapi di sini semangat sangat kuat membara. Khatam Al-Quran juga sangat kerap. Solat jemaah pun tak tinggal.

Namun, seperti kata pepatah ‘disangka hujan sampai ke petang, rupanya panas di tengahari’. Semangat tersebut hilang. Mungkin ujian keimanan dari Allah. Mungkin termakan dengan bisikan syaitan, atau teman2 yang suka buat benda lagha. Mungkin juga kerana kurangnya kesedaran dalam diri untuk menjaga hati ketika tengah subur dengan pohon keimanan.

Sampaikan masa itu sempat nasihat seorang teman perempuan yang meminta pendapat tentang berpacaran. Dengan lantang Tuah menjawab cuba bersabar dan ingat orang tua, bukan kesiankan diri yang sering kesunyian sementara sebelum berkahwin. Masa terasa diri ini ‘ustaz’ dulu.

Tapi, sekarang setelah banyak ujian diberikan Allah samada berkaitan dengan iman, ikhwah, mahupun pelajaran, tahap keimanan yang dulu tu terasa sangat jauh berbeza. Rasa nikmat hidup sudah kurang kerana kurang bersyukur dengan nikmat dan rahmat-Nya.

Akhir2 ini terasa doa yang dipanjatkan kepada Allah supaya diberi petunjuk ke jalan yang lurus dan dibantu untuk meningkatkan semula iman termakbul sudah. Alhamdulillah. Mungkin kerana telah bertukar suasana sekitar membuatkan hati mula merindui kembali penciptanya.

Semoga hujan rahmat yang berhenti di tengahari tadi akan turun kembali membasahi hati ini tanpa henti selagi jantung belum berhenti berdetik. Dan semoga azam yang ditanam dahulu dapat dilaksanakan sebelum berangkat pulang ke tanah air menabur bakti di sana. InsyaAllah.

Wallahualam.



Ps:
1) tengah sibuk cerita Tunisia dan Mesir sekarang ini. Mungkin petanda kebangkitan Islam. Semoga dapat ikut sama dalam usaha tersebut.
2) bilalah akan diadakan pilihan raya umum di Malaysia ni? Tidak sabar mahu mengundi buat pertama kali! Anda dah daftar sebagai pemilih ke belum? Sila2.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Friday, February 11, 2011

If You Wanna Be My Lover

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

If you want my future forget my past,
If you wanna get with me better make it fast,
Now don't go wasting my precious time,
Get your act together we could be just fine

If you wanna be my lover, you gotta get with my friends,
Make it last forever friendship never ends,
If you wanna be my lover, you have got to give,
Taking is too easy, but that's the way it is.

What do you think about that now you know how I feel,
Say you can handle my love are you for real,
I won't be hasty, I'll give you a try
If you really bug me then I'll say goodbye.


Siapa tahu lagu ni? Kalau tidak tahu, pergi cari sendiri kat internet, Tuah tidak mahu cakap. Lagu ni dah lama tapi masih hijau, evergreen. Group yang punya lagu ni asal Britain. All girls. Lagu ni sahaja yang Tuah minat dari group mereka ni. Sebab rentak dan lirik lagu bagus.

Kalau tengok lirik lagu ni rasanya macam boleh guna untuk bagi tahu pasangan kita yang kawan kita sangat penting dalam hidup kita. Jangan dia nak merajuk atau marah bila kita consider our friends more than them. Kan?

Lagu ni juga boleh guna untuk bagi tahu yang jangan pernah cuba untuk mengubah siapa kita sebelum mereka kenal kita. Tapi, kalau kita nak sendiri baru kita berubah, ikut suka hati kita. Kalau tidak setuju you are free to go. We can find another.

Satu lagi, kalau nak masa depan kita jangan sibuk nak tahu masa lampau kita. Kenapa mahu dikenang masa lampau yang tak begitu kita sukai. Yang kita suka bolehlah kita kongsi bersama. Yang tak seronok tak payahlah. Kan?

Sebenarnya Tuah tengah dengar lagu ni ulang2 24 jam. Sampai budak rumah kata sudah bosan asyik ulang2 lagu yang sama. Haha. Nak buat macamana? Lagu yang best mesti ulang2.

Entahlah.




p/s: masa cuti nak habiskan 6 novel dalam 6 hari, hari ni baru habis 4, itu pun rasa dan berpinar mata ni..huhu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Monday, February 7, 2011

Cuti Dan Afrika Utara

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Tamatnya ujian akhir semester bermaksud bermulanya cuti antara semester yang panjang. Tetapi tidak bagi mahasiswa Fakultas Kedokteran Universitas Padjadjaran.

Biasanya kami hanya diberi cuti 9 hari termasuk sabtu dan ahad. Namun, pada kali ini cuti kami yang pendek ini telah dipendekkan lagi menjadi 5. Memang menyedihkan.

Jadi, bagi mengisi cuti yang ‘kenit’ ini pastinya memerlukan perancangan yang rapi dan terperinci supaya segala masa yang ada dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk kini dan masa depan.

Walaupun cuti ‘kontot’, ramai yang pulang ke Malaysia. Ada juga yang berjalan2 ke sekitar Indonesia seperti ke Jakarta dan Bali. Dan macam biasa Tuah tidak pulang dan lebih suka tinggal sahaja di Jatinangor ini. Kalau di sini, boleh juga jalan2 ke Bandung. Banyak lagi tempat di Bandung ni yang belum Tuah telusuri.

Mungkin masa cuti ini Tuah akan habiskan bacaan semua novel English yang bertimbun. Majoritinya dalam format pdf. Tapi ada juga novel yang Tuah pinjam dari kawan. Pada sesiapa yang berminat dengan novel format pdf tu nanti boleh minta kat Tuah.

Tuah ada Lord Of The Ring, Harry Potter Series, Twilight Series, Gossip Girl Series, It Girl Series, Pretty Little Liars Series, Angles & Demons, novel Indonesia karya Habiburrahman. Semua tu Tuah dah habis baca. Tuah boleh ‘review’kan kalau berminat nak tahu.

Selain itu, Tuah nak ziarah teman2 yang sudah lama tidak diziarahi, sibuk belajar katanya. Semua teman yang di Jatinangor dan Bandung. Boleh tidur Bandung sehari dua mungkin, sambil bersiar2 di sana.

**********************************************************************************

Sekarang ada pergolakan politik di Afrika Utara. Tunisia dan Mesir. Pada sesiapa yang berminat nak tahu, Tunisia sebelum ini di ‘Presiden’kan oleh Ben Ali, seorang pemimpin yang zalim, corrupt, tamak dan sebagainya oleh rakyatnya.

Oleh sebab itu, rakyatnya telah cuba untuk menggulingkan presiden mereka itu dan berjaya menghalau Ben Ali dari Istana Presiden sehingga keluarga Ben Ali terpaksa keluar dari Tunisia, tapi dengan duit dan emas berbilion dollar. Memang kenyang makan sampai 7 generasi agaknya.

Seperti Tanah Melayu yang terpengaruh dengan kemerdekaan Indonesia menentang penjajah, dan bangkit untuk turut mendapatkan kemerdekaan negara sendiri, begitu juga Mesir yang meniru usaha2 negara jirannya Tunisia mahu menggulingkan Presiden mereka Husni Mubarak.

Yang tidak seronoknya dalam usaha mereka ini ialah tidak muncul lagi kejayaan mereka itu. Sehingga kini setelah 2 minggu, Presiden Mubarak masih lagi seorang presiden Mesir. Walau dihentam berbagai pihak termasuk seorang ulama’ asal Mesir yang dibuang negeri Dr. Yusuf Al-Qardawi.

Sekarang sahaja jumlah korban rakyat Mesir telah mencecah ratusan orang, tidak termasuk yang cedera parah dan sebagainya. Akibat usaha ini sehingga perkhidmatan internet dan telefon juga diputuskan oleh kerajaan supaya tiada perhubungan antara kumpulan pemberontak. Ini menyebabkan dunia luar tidak mendapat khabar berita dari dalam Mesir.

Macamana Husni Mubarak ini boleh jadi sangat kental? Pastinya kerana sokongan dari 2 sekutunya yang begitu kuat mendokongnya menjadi Presiden Mesir selama lebih 30 tahun iaitu Amerika Syarikat dan Israel. Kalau tumbanglah kerajaan Husni Mubarak ini, Palestin turut akan mendapat manfaatnya.

Dalam pada itu, ada pula rakyat Malaysia yang berharap perkara yang sama berlaku di negara sendiri. Apahal mereka2 ini? Mahu ke negara bergolak seperti di Tunisia, Mesir, Iraq, Afghanistan? Malaysia masih berlaku lagi sistem demokrasinya. Jangan jadi pemalas dengan mengambil jalan mudah mahu menjatuhkan kerajaan.

Geram pula Tuah apabila ada beberapa pihak yang menyuarakan keinginan mahu turun padang bagi menjatuhkan kerajaan dengan cara tunjuk perasaan dan memberontak dan sebagainya. Kalau benar2 terjadi, mungkin lepas 30 tahun baru ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia akan pulih.

Marilah kita sama2 berdoa supaya Malaysia tidak perlu sampai ke peringkat sebegitu untuk mendapatkan keadilan buat rakyat. Dan, marilah kita sama2 berdoa supaya kita dihindarkan dari pemimpin dan pemerintah yang zalim. Dan, untuk keamanan dan keselamatan rakyat Mesir dan Tunisia. Amin.

Wallahualam.



p/s: cuti oh holiday, isn’t fun?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Monday, January 17, 2011

Nak Tergadah Lepas Terhantuk?

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Masa tengah berbual dengan kawan2, tiba2 salah seorang terfikir suatu situasi yang wujud dikalangan teman2. Iaitu ramainya pelajar yang beriman dengan hari peperiksaan; dengan hati, lidah dan perbuatan.

Mereka yakin dan percaya dengan hati yang hari peperiksaan akan tiba, akuinya dengan kata2 dan mengiyakan dan membuktikan dengan perbuatan iaitu dengan blajar setiap masa. Pendeknya, mereka percaya, mengaku dan membuktikan akan datangnya hari peperiksaan.

Setiap kali akan datangnya hari peperiksaan mereka akan membuktikan keimanan mereka ini dengan sentiasa bercakap mengenainya dan belajar bersungguh2 sehingga akhirnya mewujudkan keyakinan tersebut.

Namun, tidak ramai dari para pelajar yang betul2 beriman dengan hari kiamat, hari kebangkitan, hari penghitungan dan hari pembalasan. Buktinya, masih ramai yang bukan sahaja buat maksiat tanpa henti malah tanpa segan silu bercerita dan berkongsi hal tersebut dengan orang ramai.

Seperti dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

“jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.”

Maka, tanpa rasa malu mereka melakukan maksiat dikhalayak ramai. Tidak kira samada dosa kecil atau besar mereka lakukan tanpa henti, seperti hari pembalasan tidak akan tiba, langsung.

Mungkin, keimanan terhadap hari peperiksaan begitu kuat memberi impak kerana mereka pernah melaluinya sebelum ini berkali2. Atau, kerana sudah tahu bila dan di mana akan berlangsungnya hari peperiksaan. Kerana siksaan di hari peperiksaan yang masih dirasakan menyebabkan mereka sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya.

Mungkin, apabila sudah tahu bila dan di mana atau sudah mengalaminya baru mereka akan beriman dan percaya akan kedatangan hari tersebut. Tetapi ketika itu sudah terlambat. Seperti dalam surah Fatir, 35, ayat ke-37 yang bermaksud,

“dan mereka berteriak di dalam neraka itu, ‘ya tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan kebajikan yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan dahulu...’

Adakah setelah menjadi orang2 dalam surah tersebut baru mereka mahu beriman? Bagaimana pula dengan Tuah dan anda? Tuah memang tidak mahu. Well, the choice is yours. Jangan dan terhantuk baru nak tergadah.

Wallahualam.

~layan lagu ni, teringat zaman sekolah, berpesta atas kubur Cina kat belakang sekolah~

p/s: final exam dah mula siang tadi, doakan kejayaan Tuah dan kawan2.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Friday, January 14, 2011

Selamat Jubli Emas Ummi!

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Pada hari ini, Tuah ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir buat ummi Tuah yang ke-50. Selamat Jubli Emas. Golden Age. Warga emas dah sekarang ini. Semoga beliau panjang umur dan tetap tabah dalam menghadapai liku2 hidup dan berbahagia di samping suami dan anak2 yang berada di Kem Terendak, Melaka.

Sempena hari lahir beliau yang sama dengan Tuah pada hari ini, Tuah mahu bercerita sedikit (padahal banyak juga ni) pasal ibunda yang Tuah panggil ummi yang bermaksud ibuku.

Nama diberi Sharifah Masnah. Asalnya Masniah, tetapi kerana masalah pegawai pendaftaran yang ‘buta huruf’ telah mengurangkan satu huruf ‘A’ kat nama asal tu. Anak2 memanggil beliau ‘ummi’, suami beliau memanggil beliau 'Mas' atau 'Mai', dan ibu bapa beliau memanggail beliau ‘Mas’. Anak2 saudara ada yang memanggil beliau ‘ummi Mas’ atau ‘ibu Mas’.

Anak ke 7 daripada 9 orang adik beradik ini lahir pada hari Sabtu, 14 Januari 1961 di Hospital Besar Miri, Miri, Sarawak yang lama, tetapi kini telah diroboh dan dibina baru di tempat lain. Kalau tengok pada tanggal lahir, hari dan bulan sama dengan tanggal lahir Tuah, cuma tahun yang berbeza.

Anak kepada Haji Wan Sazali Wan Salim dan Hajjah Sharifah Napisah Wan Abdillah ini merupakan seorang anak yang taat. Ini menyebabkan beliau dianggap anak emas dalam keluarga selain menjadi bongsu selama lebih kurang 7 tahun sebelum mendapat 2 orang adik perempuan.

Seorang yang bijaksana dan berseni. Kalau dalam pelajaran dia antara yang terbaik di sekolah rendah dan menengah. Bahasa Inggeris beliau memang berhabuk lah orang kata. Kalau dalam seni, beliau seorang pelukis yang berbakat. Suruhlah lukis pemandangan kat mana2 mesti cantik. (kerja seni Tuah banyak yang dibantu beliau semasa sekolah rendah, huhu!)

Walau keputusan Sijil Tinggi Pelajaran beliau mendapat pangkat 1 beliau tidak dapat menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi (Institut Teknologi Mara cawangan Kuching) kerana masalah keluarga. Tetapi beliau redha dan terus berhenti belajar.

Pada usia 10 April 1982, beliau berkahwin dengan jejaka dari Johor bernama Syed Abdul Hamid Syed Harun di usia 21 tahun. Dengan harapan mahu menerapkan pelajaran agama dalam diri anak2 kelak, beliau berpindah ke Batu Pahat, Johor bersama suami. Ini kerana pada waktu tersebut pengajian atau sekolah agama tidak begitu meluas.

Walau pernah mendapat tawaran sebagai setiausaha di  Syarikat Minyak Shell Bintulu, Sarawak dan lain2 lagi, beliau langsung tidak menerima mana2 tawaran. Kerana ada 2 sebab; tidak diizinkan suami dan mahu memberi perhatian sepenuhnya pada anak2.

Pada 4 Julai 1983 lahir anak sulung beliau di hospital yang sama beliau dilahirkan. 3 Mac 1985 lahir anak kedua beliau, dan seterusnya . Anak bongsu atau yang ke-7 beliau lahir dengan bantuan pembedahan Ceasarean pada 4 Disember 2001. Semua sekali 5 lelaki dan 2 perempuan.

Selain mengajar mengaji Al-Quran, beliau juga mengajar Matematik, Sains dan bahasa Inggeris pada anak2 beliau, tidak terkecuali seorang pun. Kecemerlangan beliau ini menyebabkan jiran2 dan rakan2 banyak yang menghantar anak2 untuk mengaji dan belajar dengan beliau sehingga kini.

Beliau sangat menitik beratkan pelajaran anak. Kalau boleh tidak mahu seorang pun anak beliau yang tertinggal sehingga tidak melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Dan hasilnya, 4 anak beliau kini sudah dan sedang berada di pusat pengajian tinggi samada sebagai mahasiswa mahupun pensyarah.

Kalau bab mengaji Al-Quran, sejak tadika lagi telah mula. Dan kebiasaannya di akhir darjah 1 sudah khatam. Darjah 3 pula sudah wajib hafal sifir. Dan subjek Matematik, Sains dan bahasa Inggeris menjadi subjek wajib A dalam peperiksaan bagi anak2 beliau. Kalau tidak nahaslah, haha.

Kalau di masa lapang, beliau suka memasak dan menonton rancangan memasak kerana beliau suka mencuba atau mencipta resepi yang baru. Selain itu, beliau suka berkebun bunga dan house decoration. Sehingga kini ada berpuluh atau beratus pokok bunga di laman rumah beliau, tanam sendiri dengan kerjasama suami dan anak2.

Kalau hiburan, kalau dulu beliau suka menonton filem Inggeris. Antara favourite beliau adalah Grease dan Saturday Night Fever.  Tapi, kini beliau lebih suka menonton drama Melayu dan Indonesia. Kalau ada tayangan di tv janganlah diganggu.

Dari segi lagu, beliau memang dari zaman sekolah sampai sekarang sangat meminati lagu2 Inggeris lama seperti dari BeeGees, Abba, Marmalade, Bonie M dan sebagainya. Lagu2 baru memang tidak menarik minat beliau.

Makanan kegemaran beliau adalah sambal belacan. Makanlah dengan apa2 pun, mesti ada sambal belacan. Sambal belacan yang beliau buat sendiri memang sangat pedas, Tuah pun tidak sanggup menahan pedasnya. Minuman kegemaran nescafe atau kopi panas atau air kosong panas. Tidak tahu kenapa.

Motto hidup beliau ialah jangan menipu walaupun pahit. Beliau paling marah kalau anak2 mahupun sesiapa sahaja menipu, walaupun dalam filem atau drama tv. Dan beliau mahu anak2 beliau juga berpegang pada motto hidup yang sama.

Harapan beliau, selain mahu menjadi siteri solehah dan ibu mithali dan mendapat anak2 yang soleh dan solehah, beliau mahu anak2 berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita2 serta menjadi seorang profesional dalam karier masing2.

Doakan kejayaan anakandamu ini dalam peperiksaan akhir semester bermula 17 Januari hingga 7 Februari 2011 mendatang. Sedih tidak dapat sambut bersama buat kali ke-3 berturut2. Rindu sangat dengan beliau!

Wallahualam.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Sunday, January 9, 2011

Kutuk Islam: Bantuan Dari Allah

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Masa dengar taklim kat Cikuda malam semalam, baru perasan yang Allah s.w.t. telah menunjukkan betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Dia terhadap hambanya terutama yang Muslim dan yang mahu menjadi Muslim.

Kalau sebelum ini Tuah selalu terfikir yang cubaan2 untuk menghina dan mengutuk Islam yang dilakukan oleh para pembenci Islam seperti Geert Wilders, Salman Rushdi dan banyak lagi pertubuhan2 yang wujud untuk menghina Islam adalah ujian Allah semata2 untuk umat Islam supaya bersabar dan berusaha menaikkan semula nama Islam.

Tetapi, ini merupakan nikmat daripada Allah untuk memudahkan para Daienya untuk berdakwah kepada bukan Muslim. Ini kerana, selepas Islam dikecam dengan keganasan dan keburukan2 yang berbagai, ramai dari kalangan bukan Muslim yang ingin mencari tahu apa Islam itu sebenarnya.

Ramai dari mereka ini datang berjumpa dengan para Daie yang ada berdekatan mereka untuk mendengar penjelasan yang langsung dari seorang Muslim tentang tohmahan2 yang dilemparkan kepada Islam dan penganutnya.

Ini secara tidak langsung mendekatkan mereka dengan para Daie tanpa perlu seorang Daie itu cuba untuk mendekati mereka ini. Mereka bukan sahaja mahu mendekati para Daie malah mahu mendengar penjelasan atau dakwah dari para Daie yang mana bukan sesuatu yang mudah di saat ini.

Dan hasilnya, Islam menjadi agama yang paling pesat berkembang di seluruh dunia terutamanya di Eropah. Walau begitu banyak usaha dilakukan oleh Geert Wilder untuk menghina Islam, Islam kini merupakan agama yang paling pesat berkembang di Belanda dengan kadar 6% setahun. Alhamdulillah.

Terutamanya selapas tragedi serangan terhadap Worls Trade Centre pada 11 September 2001, Islam menjadi pusat perhatian dunia. Walaupun banyak tuduhan keganasan diarahkan kepada Islam, banyak juga orang bukan Muslim yang mula bercerita atau berminat hendak mengetahui apa itu Islam.

Selain kesedaran untuk beragama, ramai yang berpaling kepada Islam sebagai solusi kepada masalah2 mereka. Dikalangan umat Islam sendiri, mereka telah bersatu untuk melindungi diri, keluarga dan agama mereka.

Kalau sebelum ini mereka begitu leka dengan hal2 duniawi, namun kini mereka lebih dekat dengan Islam dan kelompok2 Muslim. Ini kerana, mereka telah dikutuk atau dihina oleh masyarakat sekitar mereka kerana mereka seorang Muslim.

Dengan bergabung dengan kelompok2 Muslim ini, mereka bukan sahaja dapat berlindung malah lebih dekat dengan Islam itu sendiri. Seperti para remaja berketurunan Pakistan-Muslim di Amerika Syarikat, mereka yang sebelum ini tidak mengamalkan ajaran Islam kini lebih suka berkumpul dengan teman2 Muslim mereka dan mewujudkan ukhwah antara mereka.

Semua ini bukan sahaja dapat membantu menaikkan semula nama Islam malah telah memudahkan para Daie untuk melakukan kerja mereka tanpa berusaha untuk mencari mereka2 ini tetapi mereka yang datang kepada para Daie tersebut. Betapa Pengasih dan Penyayangnya Allah kepada umat Islam dan para pejuang agama-Nya ini. Alhamdulillah.

Oleh itu, jangan pernah menyerah dengan nikmat Allah kerana kadang2 nikmat Allah itu selalu datang dalam sembunyi2 tanpa kita sedari. Jangan pernah menyerah untuk terus memartabatkan agama-Nya kerana Allah akan sentiasa membantu kita. Ayuh teman2 Daieku, kerja yang lebih keras jom!


Wallahualam.



p/s: final exam starting nextweek and will fining in 4 weeks time, wish me luck and success, amin!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Wednesday, January 5, 2011

Tuah Dan Seni 2

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Pertengahan bulan lepas, mahasiswa Malaysia angkatan 2008 Universitas Padjajaran dari Fakultas Kedokteran, Kedokteran Gigi dan Farmasi sekali lagi telah mengadakan suatu program tahunan yang tujuan utamanya untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama angkatan.

Juga, sekali lagi Tuah telah dijemput untuk membuat persembahan, pada awalnya. Bagaimanapun, pada akhirnya terasa macam terpaksa pula buat persembahan tersebut, kerana mewakili mahasiswa FK yang begitu ‘sibuk’ sehingga tiada masa untuk terlibat sama.

Walaupun terasa seperti orang luar semenjak dua menjak ini, tetapi kerana telah diajak maka Tuah buat dengan senang hatinya. Tidak kira samada bagus atau tidak, yang penting semua dapat bergembira dan mendapat manfaat dari persembahan tersebut.

Jadi, sekali lagi dengan tidak malunya Tuah membuat persembahan atas pentas. Dan, kali ini Tuah buat persembahan boria, seperti di sekolah menengah dahulu. Jika ada persembahan mewakili tingkatan, maka tingkatan Tuah akan buat boria, dengan liriknya digubah sesuai acara, seperti hari guru dan sebagainya.

Tetapi, ini pertama kali Tuah mencipta atau menulis liriknya. Biasanya, Tuah akan menyanyikan lagu orang lain, saduran or ‘cover song’. Kerana ini acara angkatan, maka Tuah buat lirik sendiri yang ada kaitan dengan teman2 seangkatan.

Namun, persembahan tersebut agak memalukan kerana sangat buruk disebabkan kami berenam hanya berlatih selama sejam. Tapi, liriknya mendapat tepukan gemuruh teman2. Terima kasih semua atas sokongannya.

Jadi, buat masa ini Tuah telah terlibat dengan 8 jenis cabang seni. Menyanyi, menari, berlakon, bermain alat musik, mengarah, menulis skrip, berpuisi dan yang terbaru mencipta lirik lagu. Menulis novel atau buku belum lagi, akan datang tidak lama lagi, insyaAllah.

Antara semuanya, yang paling Tuah suka adalah menjadi penulis skrip dan mengarah. Sebabnya, Tuah suka menulis cerita, bercerita dan menonton filem atau siri televisyen. Jadi, kalau membuat filem terasa puas.

Tuah adalah jenis orang yang suka mengkritik dan mencari kesalahan orang lain dalam persembahan mereka, samada nyanyian, lakonan, filem dan sebagainya. Kalau tengok persembahan pentas Tuah akan cari orang tersalah lirik atau skrip, terlupa langkah tarian atau set yang tidak sesuai dengan sketsa yang hendak dipersembahkan.

Apabila sampai giliran membuat persembahan, Tuah akan cuba untuk tidak mengulangi kesalahan2 yang dilakukan oleh mereka tadi. Tuah akan cuba sebaik mungkin untuk tidak mendapat kritikan2 yang tidak sepatutnya Tuah dapat.

Sama seperti hidup, Tuah akan cuba untuk mengambil iktibar dari kesalahan2 orang lain untuk dijadikan pedoman dan sempadan untuk menjadikan ‘persembahan’ Tuah yang terbaik kepada pengarah sekalian alam, Allah s.w.t.

Kalau boleh Tuah akan cuba menegur kesalahan2 mereka yang bersalah selagi Tuah nampak atau tahu. Tidak kira samada mereka itu keluarga, teman2 mahupun mereka yang tidak dikenali. Samada tua atau muda, Muslim atau tidak.

Kalau kita menunggu sehingga kita berubah menjadi alim atau warak baru mahu mula menegur maka sampai bila2 kita akan merasa susah untuk berubah. Ini kerana suasana disekitar kita yang tidak baik akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri kita dalam proses untuk berubah.

Jadi, semasa kita berubah menjadi baik sedikit demi sedikit kita usahakan juga supaya persekitaran kita juga berubah menjadi baik sedikit demi sedikit. Kalau nak masuk syurga jangan masuk sendirian. Bawa sekali keluarga, teman2 dan orang lain sebanyak yang kita mampu.

Wallahualam.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Tuesday, December 28, 2010

I Love Him, I Hate Girl, Oh Boy

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

This week my head is full of hatred. I hate this, I hate that. I hate many things, but not everything. I even create a poem about my hatred. I don’t know what happened to me that made me like this. May-be-cause I’m in much trouble right now.

But, there is one I love. I love because I can forget all the hatred by remembering this love. I love Allah for everything, every single thing. Sometimes He gives me what I want, sometimes not. Because, He know what is best for me, even though I don’t want it. Some problems He give me to settle other problems.

I love Him,
the way He create the beautiful world and everything in it,
the way He create the beautiful girl,
the way the girl talk,
the way the girl move,
the way the girl smile,
the way the girl dress,
the way the girl live their live.

I hate the girl,
because she never use everything He give the right way,
how she abuse her beautiful voice,
how she abuse her beautiful face,
how she abuse her beautiful smile,
how she abuse her beautiful body,
how she always attract the boy by talking with too soft voice,
how she always attract the boy with their beautiful smile,
how she always attract the boy by wearing the inappropriate dress,
how she always not separate herself from the not ‘Muhrim’ men.

Oh boy,
why you always make the girl cry,
why you always make the girl want you,
why you always make it hard for the girl to control herself,
why you never help her to do the right thing,
why you never allow the girl to have great life,
why you never protect her from yourself,
you always leave it to the girl to decide,
whether to trust you or not,
to let you come into their life or not
to do the right thing or not.

Wallahualam.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Friday, December 24, 2010

Dua Perempuan 2

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Soalan pertama Tuah untuknya, adakah dia beragama Islam? Dijawabnya tidak, dia tidak beragama sama sekali. Dengan santainya dia menjawabnya. Tuah tidak begitu terkejut kerana walau di Malaysia juga ramai kawan2 Tuah yang tidak beragama.

Maksudnya tidak menganut mana2 agama. Kalau mahu cerita yang muslim, nasrani, Buddist atau penganut Hindu yang tidak ‘beragama’ lagi banyak. Cakap sahaja muslim tetapi melakukan dosa dengan ‘slumber’ sahaja. Yang nasrani tidak ke gereja setiap juga ramai. Tetapi, yang ‘freethinker’ atau berkefahaman Atheis juga ada.

Dan, seperti biasa Tuah akan bertanya kepada mereka2 ini mengapa tidak beragama. Perempuan ini pun berkata yang keluarganya merupakan keluarga campuran Islam-Kristian, suatu hal yang tidak normal tetapi tidak sedikit di Indonesia ini.

Katanya, dia keliru untuk beragama. Bukan keliru untuk memilih mana satu sebagai agamanya tetapi keliru dengan alasan untuk beragama. Mengapa wujudnya agama2 di dunia ini? Bukankah agama2 ini menjadi punca perkelahian dan perpisahan antara penganut2nya?

Kalau tiada agama, pasti dunia akan menjadi lebih aman. Pasti tidak ada permusuhan antara negara2 Arab dengan negara2 Eropah, antara orang Israel dan orang Islam Palestin, antara orang Kristian dan Muslim di Indonesia.

Tuah jika berdebat pasal agama dengan orang Islam pasal agama memang sudah biasa, tetapi dengan bukan Muslim tidak pernah. Berbual kosong pernahlah. Kalau anda, bagaimana agaknya jawapan yang akan diberikan? Tuah pun berdoa dalam hati supaya Allah tolong Tuah jawabkan.

Tuah bertanya lagi, pernahkah dia terfikir bukan sekadar agama yang menjadi pemisah antara sesama manusia. Ada hal2 lain yang menjadi pemisah seperti bangsa, negara dan ideologi. Belum lagi kerana sukan dan pertandingan2. Jika, dalam sukan manusia boleh bersatu, dalam sukan juga manusia boleh berpecah.

Contohnya, wujud pergaduhan antara penyokong kelab bola sepak Inggeris dengan penyokong kelab yang lain. Perkelahian ditengah padang bola antara dua pasukan yang berlawan juga sering berlaku. Tetapi, mereka tidak pernah menyalahkan sukan kerana mewujudkan permusuhan, malangnya agama pula menjadi sasaran.

Pergaduhan wujud kerana ada rasa tidak puas hati anta dua pihak yang berbeza dan mempunyai perbezaan, walau apa juga alasannya. Jika, kedua pihak kembali memkirkan persamaan dan mengetepikan perbezaan antara mereka pasti perkelahian atau kekerasan tidak akan berlaku.

Jika, orang Israel dan Palestin tidak menghiraukan perbezaan tetapi membina persamaan antara mereka maka tidak akan berlaku perang antara keduanya. Begitu juga dengan negara Arab dan Eropah serta orang2 Islam dan Kristian di Indonesia. Jika, perbezaan ini tidak dijadikan asas perhubungan mereka maka dunia akan aman.

Semua agama menggalakkan penganutnya untuk tidak melakukan penindasan atau kekerasan mahupun permusuhan dengan penganut dari agama lain. Semuanya menyuruh penganutnya untuk saling hormat menghormati sesama manusia, tidak kira apa juga kepercayaan mereka.

Selepas itu, kami berduanya berdiam diri. Dia yang sudah lama berdiam diri mungkin memikirkan akan kebenaran kata2 Tuah. Atau, tidak berpuas hati dengan penjelasan Tuah tetapi malas untuk mengutarakannya. Atau, tidak berminat untuk bercerita mengenai hal2 agama.

Tidak lama kemudian kami pun sampai ke destinasi masing2. Sampai akhirnya baru Tuah perasan. Kalau dengan perempuan bertudung tadi kami lebih gemar berbual mengenai hal2 kami sendiri. Tetapi dengan yang kedua ini, kami berbual pasal agama. Walau Tuah tidak yakin dapat membawanya ke jalan kebenaran. Semoga berjaya hendaknya.

Wallahualam.


p/s: kisah ini tiada kaitan dengan mereka yang masih masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, kecuali Tuah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

Monday, December 20, 2010

Dua Perempuan

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar menaiki pengangkutan awam, Tuah duduk besetentang dengan seorang perempuan yang sebaya. Seperti biasa, lelaki jika melihat perempuan yang cantik mesti terkesima sekejap, sesaat atau seminit lamanya.

Mahu dibuat bagaimana, sudah tertengok dan terdapat rezeki. Orang kata rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari. Persoalannya, adakah ini yang dinamakan rezeki?

Sewaktu di sekolah dahulu, Tuah biasa mendengar sebuah hadis di mana Nabi s.a.w di tanya sahabatnya mengenai hukum memandang wanita tanpa ia sengaja. Lalu Baginda s.a.w. menjawab, “Pandangan pertama (tanpa sengaja) kamu tidak berdosa. Dan berdosa pandangan kamu berikutnya (yang disengaja).”

So, berdasarkan hadis ini maka memang rezekilah namanya. Tapi, cuma kerlipan yang pertama sahaja. Yang kedua dan yang keseratus sudah namanya dosa, bala. Bukan main tenung lagi Tuah pada perempuan itu. Minta2 dia tidak perasan.

Lepas berkenalan dan berbual2 beberapa minit, dia pun turun. Tuah tiba2 terasa rindu, walau baru berjumpa dan berpisah tidak sampai sejam. Menyesal rasanya tidak meminta nombor telefon dia.

Tengah2 menyesal sebentar tadi, tiba2 seorang perempuan lain masuk. Kalau yang tadi itu bertudung. Tapi, yang ini jangan kata mahu bertudung, bajunya pun ketat dan siap dengan skirt pendek lagi. Pergh! Berderau iman masa itu.

Kemudian, baru Tuah perasan bahawa ini merupakan ujian daripada Allah, mahu menunjukkan betapa lemahnya iman Tuah. Yang tadi pun Tuah boleh galak berbual, apalagi dengan yang ini. Astaghfirullah.

Jadi, kerana sudah perasan yang ini ujian Allah, maka Tuah tidak menegur perempuan itu. Tetapi, dia yang menegur. Boleh pula dia kata Tuah sombong. Walau sudah biasa dituduh sombong, Tuah tetap tidak suka mendengarnya. Lebih2 lagi jika Tuah tidak berniat untuk menyombong.

Mula, cerita pasal Malaysia. Kemudian pasal hubungan Malaysia dan Indonesia. Bila dia tanya, macamana keadaan sosial remaja di Malaysia. Adakah lebih baik atau lebih buruk dari Indonesia?

Tuah tidak tahu mahu bilang apa. Kalau mahu diikutkan lebih kurang sama sahaja keruntuhan moral remaja di kedua2 negara. Tapi, dari segi ketinggian budia pekerti dan adab rasanya remaja Malaysia lebih baik.

Namun, dari segi suara dan pendapat, pemuda pemudi Indonesia lebih kuat dan tinggi suaranya. Jika di Malaysia, pemuda yang bersuara lantang pasti meminati dunia politik. Kalau tidak, mereka lebih memikirkan diri sendiri dan tidak mempedulikan masyarakat sekitarnya.

Kalau di Indonesia, remajanya memang suka menyuarakan pendapat, samada didengari oleh pemerintahnya atau tidak. Dan, mereka lebih suka menggunakan demonstrasi dan piket sebagai saluran untuk menyuarakannya. Tidak seperti di Malaysia yang lebih suka cara yang lebih aman, bagi mereka dan orang sekitarnya.

Seterusnya, Tuah cakap remaja2 dan pemuda2 Malaysia kini sudah dipengaruhi oleh cara fikir orang Indonesia ini. Contohnya, mereka kini sudah mula memberontak, samada terhadap keluarga mahupun pihak sekolah. Tetapi, tidak sekeras orang Indonesia.

Selepas itu, giliran Tuah pula untuk bertanya...

(bersambung...)




Sincerely by,




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.