Monday, August 2, 2010

Katakan "Ya", Jangan "Tidak"

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Pertama kali Tuah jadi imam dalam solat berjemaah ialah semasa mengikuti perkhemahan PBSM di sebuah sekolah di Melaka. Pada masa itu Tuah berumur 10 tahun. Solat zohor atau asar tidak ingat pula. Berbekalkan sedikit ilmu fardhu ain yang dipelajari di sekolah dan di rumah Tuah mengimami rakan solat pada siang hari itu, dengan selambanya Tuah menguatkan bacaan.

Selepas solat ada peserta perkhemahan yang rasanya lebih berusia dari Tuah menegur dengan mengatakan yang solat di siang hari tidak boleh dikuatkan bacaan. Malu ada, marah pun ada. Mana tidak malu, ramai jemaah yang solat sekali. Memang marahlah sebab selepas solat baru Tuah tahu. Marah pada diri sendiri sebab tidak ambil tahu sebelum itu.

Mana Tuah tahu tidak boleh, sebab tiap kali Tuah ke masjid solat jemaah imam akan menguatkan bacaan. Dan Tuah hanya solat di masjid masa itu hanya untuk solat maghrib, isyak, subuh dan solat Jumaat. Sememangnya imam akan kuatkan bacaan. Solat zohor dan asar hanya di rumah, kerana kesuntukan masa untuk ke sekolah pagi dan petang.

Tapi, masa darjah 6, Tuah sekali lagi menjadi imam. Sebab fobia sejak kejadian di atas, setelah sekian lama baru Tuah berani untuk menjadi imam. Masa itu sekolah agama waktu petang. Ustazah suruh seorang pelajar lelaki mengimami solat jenazah ghaib, untuk kelas fardhu ain. Bukan solat yang betul, hanya latihan.

Sebelum kelas tamat, ustazah memberitahu yang imam yang paling bagus pada hari itu ialah Tuah. Sebab, semua rukun dan bacaan dalam solat Tuah betul. Tuah juga telah hafal doa jenazah pada ketika  itu dan pelajar lain belum lagi. Maka, Tuah yang terbaiklah pada masa itu. Setelah itu, fobia Tuah untuk mengimami solat langsung hilang.

Selain menjadi imam untuk beberapa siri solat jemaah yang tidak melibatkan ustaz atau cikgu lelaki, Tuah juga diberi kepercayaan untuk mengimami bacaan Yaasin setiap pagi Jumaat ketika darjah 6. Bacaan Yaasin tersebut sempena UPSR yang akan kami duduki pada tahun itu.

Tuah juga diminta untuk menjadi mua’zin pada majlis solat hajat untuk seluruh pelajar yang akan menduduki UPSR, untuk maghrib dan isyak. Mungkin kerana Tuah komanden skuad kawad PBSM sekolah, maka suara Tuah yang kuat dan nyaringlah yang sesuai.

Ketika tingkatan 4, Tuah pernah menjadi khatib solat Jumaat. Ada 3 minggu solat Jumaat yang khatib dan bilalnya ada pelajar sekolah. Imam mahu melatih kami untuk menjadi khatib dan bilal solat Jumaat. Cuak memang tidak dapat mahu digambarkan. Bukan setakat ketika di atas mimbar, tetapi bermula sejak Tuah diberitahu akan menjadi khatib, 2 bulan sebelum minggu yang pertama.

Cuak yang pertama kerana Tuah tidak pernah berdiri depan umum untuk selain menjadi komanden kawad atau membuat persembahan pentas. Memang Tuah ada stage fright pun.

Cuak yang kedua kerana Tuah tidak tahu apa yang mahu dikhutbahkan. Walaupun karangan bahasa Melayu antara yang terbaik dalam sekolah tetapi Tuah bukanlah pendengar khutbah yang setia. Kadang2 sahaja tidak tidur sewaktu khutbah. Maka, tidak tahu apa yang perlu diucapkan ketika khutbah nanti.

Cuak yang ketiga ialah kerana Tuah tidak bagus dalam bab2 agama ini. Jujur, Tuah tidak seperti pelajar sekolah agama yang lain, yang hafal berpuluh atau beratus hadis berserta matan, yang hafal beberapa juzuk Al-Quran, juzuk 30 mungkinlah, dan beberapa surah lazim.

Tapi, ustaz yang meminta Tuah untuk menjadi khatib yang tolong buatkan teks khutbah dan melatih Tuah menjadi pemidato di khalayak umum. Contohnya, Tuah pernah 2 kali memberi pidato di perhimpunan sekolah, pertama dalam bahasa Melayu, kedua dalam bahasa Inggeris. Tema pidato adalah penjagaan alam sekitar dan sains dalam kehidupan, 2 buah tema yang Tuah memang minat untuk uraikan dan berkongsi dengan kawan2.

Dan khutbah itu Tuah laksanakan dengan lancarnya. Walaupun waktu rehat antara khutbah pertama dan kedua lebih lama dari yang biasa. Sebab, cuak khutbah yang pertama belum reda, maka Tuah ambil masa untuk khutbah yang kedua.

Tamat solat Jumaat, imam puji teks khutbah Tuah depan ustaz tadi. Dan ustaz tersebut Cuma berdia diri, memberi laluan kepada Tuah untuk deberi pujian, walaupun bukan milik Tuah pujian tersebut. Ustaz kemudian meminta Tuah menjadi khatib buat kedua kalinya, tetapi dengan pantas Tuah tolak, serik agaknya.

Tuah bukanlah seorang pelajar yang baik, apalagi berdisiplin atau warak. Namun, semua guru samada di sekolah rendah atau sekolah menengah akan meminta Tuah buat sesuatu yang biasanya pelajar yang baik sahaja buat. Tapi, apabila diminta untuk buat sesuatu yang seperti itu, Tuah langsung tidak menolak, even menjadi pengawas sekolah.

Tapi, Tuah tolak tawaran menjadi pengawas sekolah menengah, sebab tanggungjawab seorang pengawas sekolah menengah jauh lebih besar berbanding sekolah rendah, dan Tuah tidak sanggup menggalasnya. Lagi pun Tuah juga banyak melanggar peraturan, tidak mungkin Tuah akan menjdai seorang pengawas yang baik.

Ketika di tingkatan 5, Tuah diminta menjadi naqib usrah di asrama. Ditolak pada mulanya, namun Tuah terima juga setelah dipaksa oleh ustaz. Pada akhir tahun, baru Tuah terasa ruginya menolak jawatan pengawas sekolah.

Sebabnya, kalau Tuah menjadi pengawas mungkin Tuah akan kurang atau langsung tidak langgar peraturan sekolah, kerana Tuah seorang pengawas. Menjadi seorang naqib usrah bukan sahaja mengajar Tuah cara untuk menjadi seorang senior yang baik, penceramah yang mantap, juga seorang yang bertanggungjawab membawa anak usrahnya ke jalan yang benar.

Akhir kata, banyak sebenarnya yang kita akan rasa rugi kerana memilih untuk tidak berbuat sesuatu, atau menolak apa2 tawaran pada masa lampau. Cuba untuk banyak berkata “Ya” dan kurangkan berkata “Tidak”. Bak kata Mahatma Ghandi “ Whatever you do in life will be insignificant, but it is very important you do it, because nobody else will”.

Wallahualam.



p/s:
1) katakan "Tak Nak" pada rokok
2) jangan katakan "Ya" jika mahu mengatakan "Tidak"


Sincerely by,





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.