Saturday, June 18, 2011

Selamat Hari Abah, Abahku!

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Seorang abang dan seorang kakak serta dua orang adik telah meninggal dunia sewaktu kecil disebabkan oleh penyakit aneh yang sama di alami beliau. Hal ini menjadikan beliau anak bongsu dari 9 orang adik beradik.

Tarikh lahir pun tidak begitu pasti kerana lambat mendaftar kelahiran beliau, mungkin kerana ibu dan abah beliau sibuk memikirkan cara menyelamatkan nyawa beliau. 3 bulan selepas lahir baru daftar. Pilih2 tarikh yang sesuai, pertengahan Mac, menjadi 16 Mac 1953.

Dilahirkan dengan nama Syed Abdul Hamid tapi dibesarkan dengan nama Md Shah. Nama yang diberi oleh seseorang yang merawat penyakit beliau. Semua orang panggil Md Shah, seluruh sanak saudara.

Pada bulan Mac yang lepas beliau bersara dari perkhidmatan awam, sebagai Pembantu Kesihatan Awam. Sedar tak sedar, sudah tua rupanya beliau ni. Kalau dilihat dari fizikal beliau nampak muda, dalam 40an lagi. Tapi kalau dilihat dari raut wajah nampak ketuaan beliau.

Kehidupan di masa beliau membesar dan bujang jarang dikongsi beliau. Tetapi ada beberapa benda yang Tuah tahu mengenai beliau. Antaranya beliau merupakan seorang anak yang nakal tapi saat taat pada ibu bapanya. Pernah ditampar oleh abah beliau kerana kenakalan beliau.

Di sekolah merupakan budak nakal. Ponteng kelas, didenda guru dan mengusik pelajar2 lain menjadi kebiasaan. Yang paling best ialah beliau merupakan jaguh atau otai di sekolah. Macam2.

Berkahwin di usia 29 tahun, beliau merupakan seorang suami yang tegas dan tetap pendirian. Kalau hitam dikata beliau maka hitamlah, walau sebenarnya putih. Dengan anak2 lagi lah, panas baran. Tiada dari anaknya yang tidak pernah dipukul beliau, tidak kira kecil atau besar.

Namun, beliau merupakan seorang abah yang amat pengasih dan penyayang. Sangat2. Kalau mampu, beliau akan beri apa sahaja yang dikehendaki oleh anak2, apa sahaja. Tapi, kalau ingkar, terutamanya pada ummi, memang cari nahas, tali pinggang menunggu untuk dilepekkan ke mana2 bahagian tubuh.

Beliau merupakan abah dan juga idola bagi anak2 beliau. Sebut sahaja bidang apa yang mahu diidolakan, semua boleh, serba serbi boleh. Akademik, sukan, pertukangan, berkebun, sukan dan macam2 lagi. Kalau dalam sukan, tiada anak2 yang dapat menandingi.

Kalau mahu disebut piala dan pingat sukan, semua ada. Satu almari besar diperlukan untuk menyimpannya, bukan susun cantik2 sebagai perhiasan, tapi sumbat selagi muat. Sampai satu ketika, piala2 tersebut perlu dibuang kerana ada banyak lagi yang baru perlu diletakkan di  dalam almari tersebut. Tapi bukan satu atau dua ketika, tapi banyak ketika. Bola sepak, takraw, tenis, lumba kari, dan macam2 lagi.

Tapi sukan terbaik beliau yang masih aktif sampai sekarang ialah badminton. Naib juara Kejohanan Badminton acara beregu lelaki bagi penjawat awam seluruh Malaysia. Kalau tidak silap umur beliau ketika itu sudah hampir 50. Memang ganas.

Dalam pelajaran, memang tidak tinggi. Sampai STPM pangkat 1 dan beliau berhenti. Kerana beberapa alasan tertentu. Tapi, minta sahaja beliau ajar matematik mesti boleh. Kakak beliau pernah kata yang beliau merupakan pelajar terbaik di sekolah. Bila ditanya pada beliau, tiada respon.

Dalam bab seni beliau juga mantap. Juara karaoke seluruh Batu Pahat. Naib juara sketsa peringkat negeri Johor di zaman sekolah sambil mendapat anugerah pelakon terbaik. Kalau menyanyi Tuah tidak pernah dengar. Tapi kalau berzanji Tuah pernah dengar, merdu dan masyuk suara beliau.

Bukan sahaja dalam hal2 keduniaan, dalam bab agama juga tidak kalah hebatnya. Maklumlah, bersekolah agama di Johor zaman beliau, jika sudah tamat belajar sudah boleh menjadi mufti layaknya. Beliau selalu menjadi rujukan Tuah dalam hal2 agama, terutamanya dalam bahagian syariah dan fekah.

Kalau mengaji al-Quran memang beliau yang ajar, dan ummi, ganti2. Pernah sekali Tuah tengah baca sendiri, kerana salah tajwid, tiba2 beliau lantunkan bacaan yang betul. Padahal ketika itu beliau sedang menonton televisyen. Semua anak dikhatamkan oleh beliau sebelum dikhatamkan di sekolah. Memanglah sangat seksa nak khatam dengan beliau ni.

Walaupun selalunya beliau nampak sihat walafiat, hakikatnya beliau menghidap banyak penyakit. Tuah mendoakan beliau sihat sejahtera dan panjang umur sehingga dapat melihat cucu2 beliau nanti. setakat ini menantu pun belum ada. Anak sulung beliau akan menikah di pada Syawal akan datang, semoga berjalan lancar semuanya.

Tuah juga mendoakan agar beliau dan isteri akan dapat menunaikan haji di mekah pada tahun akan datang. Semoga masalah2 kesihatan beliau tidak menghalang beliau melaksanakan segala rukun haji kelak.

Satu kata2 beliau yang Tuah ingat sampai sekarang, "abah tiada harta yang bertimbun seperti ayah orang lain untuk diwasiatkan pada anak2, hanya pelajaran tinggi sahaja yang mampu abah berikan selagi abah mampu".

Ketahuilah bahawa anak2mu menyayangimu sepenuh jiwa dan raga. Dikaulah permata dan mutiara hidup kami adik beradik. Dan ketahuilah bahawa anakmu di perantauan ini sangat merinduimu di siang dan malamnya.

Selamat Hari Abah, abahku!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.