Thursday, February 18, 2010

Tuah Nak Kahwin Dengan...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Hari ini bertarikh 18 Februari, bersamaan dengan hari lahir adik Tuah, Sharifah Raudhah. Maka dengan ini, Tuah nak ucapkan selamat hari lahir yang ke-** buat beliau. Semoga panjang umur, murah rezeki dan sentiasa di dalam rahmat dan perlindungan Allah. Amin.

****************************************************************************************************************

Berbalik kepada tajuk post ni, sudah lama Tuah simpan post ini untuk diterbitkan sempena post yang ke-100. Segan rasanya nak terbitkan post ini. Sebab lain ialah kerana Tuah tidak pasti yang Tuah sudah bersedia atau belum untuk berkongsi hal peribadi dengan orang lain.

Sebelum ini Tuah tidak pernah berkongsi cerita atau masalah dengan orang lain, walau dengan abah ummi Tuah. Kalau setakat adik-beradik dan kawan lagilah tiada harapan. Tapi, apabila Tuah tekan button ‘publish’ ini maka Tuah telah melakukan sejarah peribadi, suatu perubahan yang tidak dapat Tuah pastikan bagus untuk Tuah atau tidak.

Jadi, post kali ini bukanlah mengenai undangan walimatul urus perkahwinan Tuah, atau surat cinta yang pada Tuah adalah terlarang, cinta terlarang. Memang agak jiwang post ini, maka Tuah harap siapa yang tidak bersedia untuk berjiwang bersama Tuah sila tamatkan pembacaan post ini sekarang. Kerana Tuah takut ada yang termuntah di tengah pembacaan post ini nanti.

Di zaman sekolah dahulu, Tuah suka berkawan dengan teman2 yang biasanya dipanggil ‘pondan’, ‘softlan’, ‘bapuk’ atau ‘maknyah’. Bagi Tuah, ada hikmahnya Allah ciptakan ‘mereka’ ini lembut dan bersifat keperempuanan. Bagi Tuah, asalkan mereka tidak berpakaian dan dengan sengajanya berlagak seperti perempuan, mereka adalah lelaki sejati, ‘gentleman’ yang perlu dihormati.

Apa yang Tuah nak cerita ialah ada suatu masa, ‘mereka’ ini bercerita tentang ciri2 isteri idaman. Maka, masing2 keluarkan ciri2 isteri ideal mereka ini. Masa itu, hanya Tuah seorang sahaja yang tidak mengutarakannya kerana pada masa tersebut tidak pernah terlintas difikiran yang Tuah akan berkahwin pada suatu hari nanti, atau Tuah mahu kahwin atau tidak. Tapi, sekarang sudah ada keinginan untuk beristeri, beranak, dan berkeluarga.

Maka, baru sekarang Tuah ada ciri2 wanita idaman untuk dijadikan isteri. Namun, ciri2 ini bukan semata berdasarkan nafsu tapi juga berdasarkan faktor2 yang Tuah fikir penting untuk menjadikan rumahtangga Tuah kekal bahagia sehingga ke anak cucu, selagi nyawa dikandung badan, hingga hujung nyawa.

Jadi, ciri utama yang perlu ada pada wanita tersebut ialah disenangi dan menepati kehendak abah ummi Tuah. Maksudnya, kalau nak kahwin dengan Tuah, dia perlulah ber’kahwin’ dengan abah ummi Tuah dahulu. Kalau dia lepas ujian pertama ini maka ujian lain bukanlah masalah untuk dia.

Sebabnya, ciri2 lain yang Tuah cari sebagai seorang isteri adalah berdasarkan pemerhatian Tuah terhadap calon menantu yang mana menjadi pilihan hati abah ummi Tuah. Ini Tuah dapat berpandukan apa yang abah ummi Tuah pernah cakap pada anak2 dan cara mereka mendidik anak2 perempuan mereka. Ada juga ditambah dengan kehendak dan naluri Tuah sebagai seorang lelaki dewasa.

Ciri pertama yang Tuah pasti akan menyebabkan ramai yang tidak mengerti sebabnya ialah dia mesti seorang Sharifah. Bukan atas alasan sombong atau ‘memilih bulu’, tetapi atas sebab sayangkan bangsa kata abah Tuah. Yang ini Tuah tidak mahu uraikan lebih lanjut, takut jadi kontroversi. Tapi, Tuah tidak yakin pasal hal ini lagi sekarang.

Ciri kedua, dia mesti mempunyai ciri2 sebagai seorang isteri mithali. Apa ciri2 wanita sejati? Bagi Tuah wanita sejati mestilah tahu menjaga isi rumah tangga; bukan sahaja isi rumah tetapi termasuk rumah tangga. Maksudnya, kesejahteraan rumah tangga juga terletak di bahu seorang isteri. Sebagai tambahan dia mesti pandai melakukan kerja seorang suri rumah, contohnya memasak.

Selain itu, isteri mithali mestilah pandai menjaga aurat dan kehormatan diri serta keluarga. Dia juga perlu taat kepada suami, hanya jika tidak bercanggah dengan hukum syara’. Dia juga mestilah seorang ibu mithali dan anak mithali. Susah juga nak jadi isteri mithali, kan? Tapi, susah bukan bermakna mustahil.

Dan ciri yang terakhir ialah dia mestilah berpendidikan tinggi. Tidak perlulah sehingga memperoleh Master atau pHD tetapi cukup sekadar ijazah pertama. Bukan sahaja bijak dalam bekerja tetapi akan memudah proses mendidik anak2 sebelum mereka memasuki alam persekolahan. Dan ciri terakhir ini begitu ditekankan oleh ummi Tuah kerana katanya, seorang isteri perlukan minda seorang yang berpelajaran untuk memastikan kemandirian pendidikan anak2.

Sebut pasal ciri2 isteri idaman ni, pasti ada yang terfikir adakah Tuah sudah berjumpa dengan wanita yang menepati semua ciri tersebut. Jawapannya kita tunggu di post akan datang sebab post ini panjang sangat. Jadi, bersambung ke post ‘Tuah Nak Kahwin Dengan…2’.

Wallahualam.

~Tuah definitely tidak akan naik pelamin~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.