Friday, January 14, 2011

Selamat Jubli Emas Ummi!

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,

Pada hari ini, Tuah ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir buat ummi Tuah yang ke-50. Selamat Jubli Emas. Golden Age. Warga emas dah sekarang ini. Semoga beliau panjang umur dan tetap tabah dalam menghadapai liku2 hidup dan berbahagia di samping suami dan anak2 yang berada di Kem Terendak, Melaka.

Sempena hari lahir beliau yang sama dengan Tuah pada hari ini, Tuah mahu bercerita sedikit (padahal banyak juga ni) pasal ibunda yang Tuah panggil ummi yang bermaksud ibuku.

Nama diberi Sharifah Masnah. Asalnya Masniah, tetapi kerana masalah pegawai pendaftaran yang ‘buta huruf’ telah mengurangkan satu huruf ‘A’ kat nama asal tu. Anak2 memanggil beliau ‘ummi’, suami beliau memanggil beliau 'Mas' atau 'Mai', dan ibu bapa beliau memanggail beliau ‘Mas’. Anak2 saudara ada yang memanggil beliau ‘ummi Mas’ atau ‘ibu Mas’.

Anak ke 7 daripada 9 orang adik beradik ini lahir pada hari Sabtu, 14 Januari 1961 di Hospital Besar Miri, Miri, Sarawak yang lama, tetapi kini telah diroboh dan dibina baru di tempat lain. Kalau tengok pada tanggal lahir, hari dan bulan sama dengan tanggal lahir Tuah, cuma tahun yang berbeza.

Anak kepada Haji Wan Sazali Wan Salim dan Hajjah Sharifah Napisah Wan Abdillah ini merupakan seorang anak yang taat. Ini menyebabkan beliau dianggap anak emas dalam keluarga selain menjadi bongsu selama lebih kurang 7 tahun sebelum mendapat 2 orang adik perempuan.

Seorang yang bijaksana dan berseni. Kalau dalam pelajaran dia antara yang terbaik di sekolah rendah dan menengah. Bahasa Inggeris beliau memang berhabuk lah orang kata. Kalau dalam seni, beliau seorang pelukis yang berbakat. Suruhlah lukis pemandangan kat mana2 mesti cantik. (kerja seni Tuah banyak yang dibantu beliau semasa sekolah rendah, huhu!)

Walau keputusan Sijil Tinggi Pelajaran beliau mendapat pangkat 1 beliau tidak dapat menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi (Institut Teknologi Mara cawangan Kuching) kerana masalah keluarga. Tetapi beliau redha dan terus berhenti belajar.

Pada usia 10 April 1982, beliau berkahwin dengan jejaka dari Johor bernama Syed Abdul Hamid Syed Harun di usia 21 tahun. Dengan harapan mahu menerapkan pelajaran agama dalam diri anak2 kelak, beliau berpindah ke Batu Pahat, Johor bersama suami. Ini kerana pada waktu tersebut pengajian atau sekolah agama tidak begitu meluas.

Walau pernah mendapat tawaran sebagai setiausaha di  Syarikat Minyak Shell Bintulu, Sarawak dan lain2 lagi, beliau langsung tidak menerima mana2 tawaran. Kerana ada 2 sebab; tidak diizinkan suami dan mahu memberi perhatian sepenuhnya pada anak2.

Pada 4 Julai 1983 lahir anak sulung beliau di hospital yang sama beliau dilahirkan. 3 Mac 1985 lahir anak kedua beliau, dan seterusnya . Anak bongsu atau yang ke-7 beliau lahir dengan bantuan pembedahan Ceasarean pada 4 Disember 2001. Semua sekali 5 lelaki dan 2 perempuan.

Selain mengajar mengaji Al-Quran, beliau juga mengajar Matematik, Sains dan bahasa Inggeris pada anak2 beliau, tidak terkecuali seorang pun. Kecemerlangan beliau ini menyebabkan jiran2 dan rakan2 banyak yang menghantar anak2 untuk mengaji dan belajar dengan beliau sehingga kini.

Beliau sangat menitik beratkan pelajaran anak. Kalau boleh tidak mahu seorang pun anak beliau yang tertinggal sehingga tidak melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Dan hasilnya, 4 anak beliau kini sudah dan sedang berada di pusat pengajian tinggi samada sebagai mahasiswa mahupun pensyarah.

Kalau bab mengaji Al-Quran, sejak tadika lagi telah mula. Dan kebiasaannya di akhir darjah 1 sudah khatam. Darjah 3 pula sudah wajib hafal sifir. Dan subjek Matematik, Sains dan bahasa Inggeris menjadi subjek wajib A dalam peperiksaan bagi anak2 beliau. Kalau tidak nahaslah, haha.

Kalau di masa lapang, beliau suka memasak dan menonton rancangan memasak kerana beliau suka mencuba atau mencipta resepi yang baru. Selain itu, beliau suka berkebun bunga dan house decoration. Sehingga kini ada berpuluh atau beratus pokok bunga di laman rumah beliau, tanam sendiri dengan kerjasama suami dan anak2.

Kalau hiburan, kalau dulu beliau suka menonton filem Inggeris. Antara favourite beliau adalah Grease dan Saturday Night Fever.  Tapi, kini beliau lebih suka menonton drama Melayu dan Indonesia. Kalau ada tayangan di tv janganlah diganggu.

Dari segi lagu, beliau memang dari zaman sekolah sampai sekarang sangat meminati lagu2 Inggeris lama seperti dari BeeGees, Abba, Marmalade, Bonie M dan sebagainya. Lagu2 baru memang tidak menarik minat beliau.

Makanan kegemaran beliau adalah sambal belacan. Makanlah dengan apa2 pun, mesti ada sambal belacan. Sambal belacan yang beliau buat sendiri memang sangat pedas, Tuah pun tidak sanggup menahan pedasnya. Minuman kegemaran nescafe atau kopi panas atau air kosong panas. Tidak tahu kenapa.

Motto hidup beliau ialah jangan menipu walaupun pahit. Beliau paling marah kalau anak2 mahupun sesiapa sahaja menipu, walaupun dalam filem atau drama tv. Dan beliau mahu anak2 beliau juga berpegang pada motto hidup yang sama.

Harapan beliau, selain mahu menjadi siteri solehah dan ibu mithali dan mendapat anak2 yang soleh dan solehah, beliau mahu anak2 berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita2 serta menjadi seorang profesional dalam karier masing2.

Doakan kejayaan anakandamu ini dalam peperiksaan akhir semester bermula 17 Januari hingga 7 Februari 2011 mendatang. Sedih tidak dapat sambut bersama buat kali ke-3 berturut2. Rindu sangat dengan beliau!

Wallahualam.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.

2 comments:

Write a great comment, not the good one, thanks!