Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,
"WANITA penghuni syurga yang paling mulia ada empat orang, iaitu Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiyah isteri Firaun," sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.
Terdapat ramai wanita utama di dunia ini, tetapi mengapa Allah memilih empat peribadi ini? Apa keistimewaan mereka? Ternyata mereka mewakili keempat ciri keperibadian seorang wanita yang wajar mendapat penghargaan, malah oleh masyarakat moden seumpama hari ini.
Tentang keutamaan Khadijah di sisi Allah, sememangnya tidak perlu diragukan lagi. Beliau adalah manusia pertama yang mengakui kenabian Muhammad s.a.w. Ia merelakan seluruh hartanya yang berlimpah ruah digunakan untuk menegakkan syiar Islam. Ia juga membaktikan jiwa dan raganya, sehingga Allah mentakdirkan ia meninggal tanpa sempat menikmati sinar-sinar kejayaan Islam. Dari celah-celah kisah hidupnya yang amat mulia itu, kita akan menjumpai satu keperibadian yang jarang dimiliki oleh kaum wanita:
1. Tokoh Masyarakat:
Ia disunting pertama kalinya oleh 'Atiq bin 'Abid. Apabila suami meninggal dunia, ia kemudian menikah dengan Abu Halah. Tetapi sekali lagi terpaksa menjanda apabila suaminya ini juga meninggal. Setelah itu ramai tokoh masyarakat Quraisy yang datang melamar, namun semua ditolaknya secara halus. Kedudukannya di tengah masyarakat Quraisy sememangnya amat dihormati. Ini bukan disebabkan oleh keturunan atau harta, melainkan kerana keperibadian dan budi pekertinya yang luhur. Ia bahkan dikenali dengan panggilan "at-Thahirah", yang bermaksud Wanita Suci.
2. Gigih Bekerja:
Masyarakat mengenali Khadijah sebagai usahawan yang berjaya. Selain memiliki hamba laki-laki dan perempuan, Khadijah juga mempunyai ramai pekerja yang bertugas untuk menjualkan barang-barang dagangannya ke luar negara. Apakah kejayaan itu ia peroleh dengan cara mudah? Tentu sahaja tidak.
Sebagaimana peniaga lain yang terpaksa melakukan perjalanan jauh mencari barang-barang yang bermutu untuk diperniagakan, maka Khadijah juga melakukan hal yang serupa. Selain cekap menghidu peluang, peniaga juga perlu pandai menjalin kerjasama dengan kakitangan mahupun pelanggan.
3. Berani dan mempunyai keyakinan diri:
Sebagai isteri, Khadijah memberikan sokongan penuh kepada Muhammad untuk menempuh jalan kebenaran, sekalipun terpaksa melawan arus dan adat resam. Tindakan suaminya untuk menyendiri ke gua Hira' misalnya, termasuk tindakan sangat aneh dan boleh dianggap tidak mendatangkan manfaat dari segi nilai ekonomi. Apa rasionalnya seseorang meninggalkan kehidupan yang tenteram bersama anak isteri dengan harta yang berlimpah, kemudian mengasingkan diri di sebuah gua di puncak bukit di tengah padang pasir yang tidak berpenghuni selama berhari-hari.
Tetapi tanpa berasa khuatir tentang ejekan orang lain, Khadijah dengan setia menguruskan keperluan suaminya selama berkhalwat di gua Hira'. Jika bekalan habis, Khadijah akan menghantarkan tambahannya, dan ia terpaksa mendaki bukit yang terjal yang miringnya hampir 45 darjat. Malah ada kalanya Khadijah menemani suaminya dengan mendirikan khemah tidak jauh dari gua tersebut. Khadijah melakukan semuanya itu hanya dengan satu tujuan; mencari kebenaran yang secara logiknya mustahil dijumpai tengah-tengah bangsa mereka yang jahiliah itu. Satu hasrat yang tak mudah difahami orang lain, namun Khadijah berani menghadapinya!
4. Tempat Mengadu:
Usia dan pengalaman hidup menjadi pendorong sikap penyantun dan watak keibuan dalam dirinya. Ketika menikah dengan Muhammad ia usianya 15 tahun lebih tua, dan telah menikah dua kali serta mempunyai anak. Secara psikologi, keperibadiannya yang keibuan dan penyantun itu memancarkan sifat keibuan yang tidak diperoleh secara sempurna oleh Muhammad selama hidupnya.
Secara fizikal dan psikologi Khadijah memang memiliki banyak kelebihan. Keadaan ini terpancar semasa Muhammad mengalami kejutan kerana datangnya wahyu. Khadijah justeru bertindak sebagai penyelamat yang menguatkan semangat Rasulullah. Bagaimanapun sebagai isteri solehah, ia tetap bersikap taat pada keputusan-keputusan suaminya dalam urusan rumah tangga mereka.
Keempat-empat keperibadian Khadijah ini adalah keperibadian yang sewajarnya ada pada setiap kaum Muslimah yang akan membawa pemiliknya menuju syurga, sekiranya dimanfaatkan dengan baik. Dunia Islam hari ini memerlukan watak-watak seumpama ini bagi membolehkan muslimah yang aktif dan dinamik mewarnai masyarakat Islam hari ini.
Tuah selalu terbayangkan adakah lagi wanita seperti Khadijah di zaman ini? Kalau masih ada tunjukkan di mana rumah orang tuanya pasti kan ku pinang tanpa menunggu lama, (tapi suruh abah dan umilah yang pinangkan). Dia bukan sahaja seorang isteri yang solehah dan hamba yang taat tetapi contoh tauladan walau kepada yang bukan Muslimah.
Wallahualam.
*******
Pepatah Tuah: Diam-diam ubi berisi, diam-diam orang.... bisu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.
No comments:
Post a Comment
Write a great comment, not the good one, thanks!