Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,
Ada yang tanya masa taklim Tawakal Jumaat lepas, kenapa perlu usaha susah2 kalau takdir tu dah di tulis, pen dah diangkat, dakwat dah kering. Tuah pun tak faham apa ustaz tu jawab. Macam tak jawab soalan je, mungkin tak faham bahasa Melayu kot. Tapi, Tuah pun terfikir jugak soalan tu dulu dan dah dapat answernya. Ni yang Tuah nak kongsi ni. Kenapa perlu susah-payah jika semuanya telah pun ditakdirkan? Kenapa harus kecewa sebelum bertemu gembira?
Begitu juga para sahabat nabi, mereka pernah bertanyakan soalan yang hampir sama lebih 1400 tahun yang lalu.
Menurut Ali Abi Talib, pada suatu hari ketika para sahabat sedang menghadiri satu pengkebumian, Rasulullah datang dan duduk berhampiran. Para sahabat kemudian duduk mengelilinginya. Beliau menggenggam sebatang kayu kecil sambil menggores-gores tanah. Rasulullah kemudian bersabda, “Setiap daripada kamu yang diciptakan telah pun ditentukan neraka atau syurganya.” Bertanya salah seorang sahabat, “Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah?”
Mendengar sedemikan, Rasulullah bersabda lagi, “Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.” Kemudian beliau membaca surah Al-Lail ayat 5 hingga 10” [1]
Di dalam surah Al-Lail ayat 5 hingga 10, Allah telah berfirman, “Adapun orang yang memberikan (menafkahkan hartanya) apa yang ada padanya ke jalan kebaikkan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya). Dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebaikkan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Dan dia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. ”
Begitulah penjelasan nabi ke atas pengertian takdir dan amalan manusia. Beliau tidak menyuruh para sahabat mempersoalkan ketentuan tuhan, sebaliknya menyuruh mereka memberi fokus kepada usaha dan amalan semata-mata.
Firman Allah di dalam Surah Al-Mulk ayat 2, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;”
Hidup ini adalah untuk berusaha dan beramal, bukan untuk mempersoalkan takdir. Jangan ditanya, “kenapa perlu mencari si dia sedangkan si dia telah pun ditentukan” sebaliknya tanyalah diri sendiri “apakah usaha yang telah dicurahkan di dalam perjalanan mencari si dia.” Wallahu’alam.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.
No comments:
Post a Comment
Write a great comment, not the good one, thanks!